Terdapat beberapa hukum tentang wanita memakai minyak wangi
iaitu harus, sunat, makruh dan haram.
Harus
Seseorang wanita itu dikatakan harus memakai wangi-wangian
ketika suami berada di rumah terutamanya ketika ingin melayan suami mereka.
Selain daripada itu, wanita tidak di haruskan memakai wangi-wangian.
Nabi s.a.w telah bersabda yang bermaksud,
"Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu memandangnya sentiasa menyenangkan hati kamu..."
(Riwayat an-Nasa'i dari Abu Hurairah)
Ini bererti seorang wanita itu haruslah sentiasa kelihatan menarik
dari segi akhlak dan penampilannya agar dapat menyenangkan hati suaminya,
termasuklah memakai minyak wangi untuk menyenangkan suami.
Sunat
Sunat bagi wanita berwangian ketika berada di rumahnya,
ketika ingin menunaikan solat dan beribadah di dalam rumahnya,
dan juga ketika menyambut tetamu wanita.
Terdapat hadis yang menjelaskan wanita juga digalakkan berwangi-wangian
tetapi bukan pada tempat yang telah dilarang.
Rasulullah telah bersabda yang bermaksud,
"Wangi-wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya.
Sementara wangi-wangian wanita pula ialah yang cemerlang (jelas) warna dan tersembunyi baunya"
(Riwayat al-Tarmizi)
Wanita juga disunatkan memakai wangian sebelum melakukan ihram.
Aisyah r.a berkata,
"Kami (isteri-isteri Rasulullah s.a.w) pergi menunaikan haji bersama Rasulullah s.a.w.
Ketika hendak berihram,
kami memakai minyak wangi yang terbaik di kening kami.
Ketika salah seorang di antara kami berpeluh,
minyak wangi itu akan mengalir hingga ke muka
dan Rasulullah s..aw melihat hal itu,
tetapi tidak menegur kami (ertinya nabi s.a.w tidak melarang)"
(Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Makruh
Hukum berwangi-wangian ketika berpuasa adalah makruh.
Ini telah umum disepakati oleh ulama dan terdapat penjelasan dalam bab puasa.
Keterangan yang dapat dipegang dan dijadikan alasan ialah fatwa Imam
Syafie dan Qaliyubi yang menyatakan
"makruh memakai wangi-wangian ketika berpuasa"
Haram
Haram bagi wanita memakai minyak wangi
atau alat-alat solek yang berbau wangi di luar rumah berdasarkan hadis berikut,
"Seorang wanita yang memakai bau-bauan dan melintasi satu kaum
(orang banyak) maka dia itu adalah perempuan zina"
(Abu Dawud, Tirmidzi)
Nabi s.a.w bersabda
"Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar ke masjid
nescaya tidak diterima solatnya sehingga ia mandi dahulu (membersihkan dirinya dari wangi-wangian tersebut)."
(Sahih riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu Hurairah)